Taman Tema Upin & Ipin Akan Dibuka!
KUALA LUMPUR – Syarikat animasi yang menghasilkan siri kartun Upin & Ipin, Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. (Les’ Copaque) akan membuka taman tema ala-ala Disneyland dengan bersandarkan konsep kartun dua kanak-kanak kembar itu tidak lama lagi.
Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md. Radzi berkata, pihaknya menganggarkan pelaburan antara RM200 juta hingga RM300 juta diperlukan untuk membina taman tema tersebut yang turut menawarkan studio rakaman dan pembikinan animasi seperti Universal Studio.
“Buat masa ini, kami sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan yang sudi untuk memberikan sebidang tanah untuk dimajukan dengan membina Taman Tema Upin & Ipin dan pengumuman mengenainya dijangka dalam dua atau tiga minggu lagi,
“Kosnya sangat besar, jadi kami sedang meneliti beberapa perkara sebelum membuat keputusan,” katanya selepas majlis pelancaran Majalah Upin & Ipin versi Bahasa Inggeris yang disempurnakan oleh Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di sini, hari ini.
Turut memeriahkan majlis pelancaran majalah yang dilesenkan di bawah NYLA Sdn. Bhd. ialah puluhan kanak-kanak dari Persatuan Untuk Orang Kurang Upaya (AKAL) Selangor Dan Wilayah Persekutuan Wisma Harapan yang kelihatan cukup ceria berjumpa maskot Upin & Ipin.
Les’ Copaque baru-baru ini dipilih sebagai penerima anugerah khas Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF)-Awani Tun Dr. Mahathir pada majlis Anugerah ICT NEF-Awani 2010.
Siri kartun Upin & Ipin yang mengisahkan tentang kehidupan dua beradik kembar di sebuah kampung tempatan berjaya menembusi banyak pasaran luar negara antaranya Indonesia, Rusia, Turki dan disiarkan dalam program Disney Channel Asia yang ditayangkan di lebih 17 negara.
Mengulas lanjut, Burhanuddin menambah, walaupun tidak mendapat kepercayaan pelabur gergasi dalam pembangunan taman tema itu, pihaknya tidak akan berputus asa untuk menjayakan rancangan tersebut kerana percaya potensi perniagaan taman tema itu.
“Dahulupun semasa saya mula perkenalkan Upin & Ipin, ramai yang tidak percaya dengan kemampuan siri animasi kartun buatan tempatan dan dengan kejayaan Upin & Ipin di peringkat tempatan dan berjaya menembusi pasaran luar negara, saya telah buktikan mereka salah,” ujar beliau lagi
![Leypark [Dot] Com](http://i1115.photobucket.com/albums/k547/HazIssac/leyparkkkkkkkkkkkk2-2.png)











