Manchester United Enggan Mengalah Dalam Perebutan Trofi Malam Ini
MANCHESTER: Sir Alex Ferguson menolak mentah-mentah cerita mendakwa peralihan kuasa bola sepak Inggeris apabila pesaing utama mereka Manchester City kini semakin hampir merampas trofi Liga Perdana Inggeris daripada tangan mereka.
United bertandang ke Sunderland malam ini dan kejayaan City ke atas Queens Park Rangers di Eastlands akan mengesahkan kejuaraan buat skuad Roberto Mancini.
Kuasa kewangan dimiliki City mencetus perbincangan mengenai peralihan kuasa dalam bola sepak Inggeris selepas dikuasai United yang dikendalikan Ferguson sejak berdekad lamanya.
Namun, pengurus United itu berkeras ini bukan masa untuk analisis besar-besaran terhadap kegagalan pasukannya menjulang gelaran ke-20 selepas berada di puncak liga beberapa minggu lalu.
“Kami boleh memikirkannya selepas kejohanan ini dan menganalisis perkara itu secara teratur,” kata Ferguson.
“Tiada makna melakukannya sekarang kerana ia belum diputuskan dan ia perlawanan terakhir musim ini, sesuatu yang hebat bagi mereka yang berkecuali dan media tetapi perit buat kedua-dua kelab.” Bagaimanapun, Ferguson menafikan kegagalan merebut gelaran itu menandakan berakhirnya satu era apabila United memenangi liga empat kali dalam lima musim terakhir.
“Kami tidak melihatnya sebagai penamat bagi kami,” kata Ferguson. “Dalam banyak perkara, ia mungkin satu permulaan bagi kami.
“Cabaran ini lebih jelas kepada pemain. Jika mereka gagal dalam liga ini, sama seperti kami ketika menentang Chelsea beberapa tahun lalu, kami harap dapat memperbaikinya. Harapnya, kami mampu melakukannya sekali lagi,” katanya. – AFP
Category: Berita, Bola Sepak, Sukan
![Leypark [Dot] Com](http://i1115.photobucket.com/albums/k547/HazIssac/leyparkkkkkkkkkkkk2-2.png)












Comments (1)
Trackback URL | Comments RSS Feed