Drama “Dalam Hati Ada Taman”, Randy Pangalila Temui Peminat Oktober Ini Di Astro Ria
KEJAYAAN telefilem Mimpi Sampai Ke Bintang disiar Astro Ria Disember lalu memperoleh rating 1.1 juta penonton membuatkan pelakon sinetron terkenal Indonesia, Randy Pangalila, 22, menerima tawaran Cube Film Sdn Bhd untuk membintangi drama bersiri Dalam Hati Ada Taman.
Seperti Mimpi Sampai Ke Bintang, Randy sekali lagi digandingkan dengan Elfira Loy dalam drama bersiri 13 episod itu yang bakal disiarkan di Astro Ria, Oktober depan. Pelakon lain yang terbabit dalam drama itu termasuk Haniz Suraya, Amy Mastura dan Didie Alias.
Ditemui sewaktu sibuk menjalani penggambaran di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur, jejaka kelahiran Surabaya, Jawa Timur ini menjelaskan, seandainya Mimpi Sampai Ke Bintang tidak ditonton peminat di Malaysia, bermakna itu percubaan pertama dan terakhir untuknya beraksi di sini.
“Saya mengetahui mengenai sambutan baik penonton terhadap telefilem pertama yang saya bintangi di sini menerusi penerbit dan pengarah, Michael Ang.
“Saya juga difahamkan, jumlah tontonan Mimpi Sampai ke Bintang untuk stesen berbayar seperti Astro sangat tinggi dan mencipta rekod.
“Saya senang mendengar maklum balas itu dan ia membuatkan saya mahu terus bekerjasama dengan produksi dan pelakon di sini, di samping mengubat rindu peminat.
“Pada saya, tiada gunanya berlakon di Malaysia tetapi tidak ada orang menyukainya. Saya juga lakukannya untuk peminat sebagai tanda terima kasih kerana menerima dan menyokong kerjaya seni saya di sini,” katanya.
Pastinya bayaran tinggi diterima pelakon yang mula mencipta nama menerusi sinetron Cinta Fitri dan Nada-Nada Cinta itu di sini, menjadi faktor pendorong dia bersetuju membintangi drama mahupun filem dihasilkan produksi tempatan.
Mengulas perkara itu, Randy atau nama penuhnya, Randy Dionisius Pangalila, berkata dia tidak mahu hipokrit dan mengakui soal bayaran turut memainkan peranan untuk dia datang bekerja di sini.
Bagaimanapun, jika ada yang mengatakan dia meminta bayaran tinggi, tegas Randy ia tidak benar, sebaliknya pelakon yang memulakan kerjaya lakonan menerusi sinetron Alisha itu menerangkan, upah diterima tidak jauh beza dengan apa yang diperoleh di negaranya dan ia diputuskan pengurusnya.
“Masalahnya sekarang, bukan soal demand atau minta bayaran tinggi yang saya fikirkan setiap kali datang tawaran untuk berlakon di sini.
“Namun, masalah jadual sebenarnya yang selalu menjadi penghalang. Berlakon sinetron mengambil masa panjang dan ada ketika sampai berbulan-bulan lamanya.
“Jika siri itu diminati ramai, jalan ceritanya dibuat sampai setahun lamanya tetapi jika kurang sambutan, ia hanya bertahan tidak sampai tiga bulan. Disebabkan itu juga, beberapa tawaran yang datang daripada penerbit di sini tidak dapat saya penuhi.
“Mengenai bayaran itu pula, selalunya saya akan berbincang dengan pengurus. Kadangkala kalau saya mahu melakukannya, pengurus saya akan beralah dan paling penting, saya seronok bekerja,” katanya.
Mengambil contoh bekerja dengan Cube Film dan pelakon di sini sewaktu membintangi Mimpi Sampai Ke Bintang, Randy langsung tidak janggal. Pelakon terbabit juga menganggapnya seperti rakan artis biasa yang sudah lama kenal.
“Satu perkara lagi sebab saya suka bekerja di sini, pengarah akan memastikan pelakon bekerjasama walaupun ada babak dirakam tidak membabitkan diri saya.
“Tidak seperti produksi di Indonesia, kadangkala saya berlakon sendiri dan bercinta dengan dinding. Kalau ada orang pun, bukan pelakon tetapi hanya pakai pelakon tambahan.
“Saya juga sukakan hasil karya Michael kerana gambarnya cantik. Ia ternyata berbeza dengan kebanyakan sinetron yang pernah saya bintangi.
“Ini kerana peralatan digunakan canggih menggunakan kamera DSLR, sedangkan di sana masih lagi menggunakan kamera beta.
“Menonton Mimpi Sampai Ke Bintang, saya berasa teruja kerana keindahan babak dirakamkan. Malah, senyuman saya nampak cantik sekali. Ia bagaikan menonton filem atau iklan televisyen, sedangkan ia hanya drama,” katanya.
Menarik menerusi drama bersiri Dalam Hati Ada Taman, Randy bukan saja berlakon tetapi turut mencipta dan menyanyikan lagu temanya. Lagu itu sudah lama dalam simpanannya sebagai koleksi peribadi.
“Saya pernah memperdengarkannya kepada Michael dan dia berminat. Malah, katanya, ada babak ditulis diilhamkan daripada lirik lagu yang saya cipta. Setakat ini, lagu pertama belum ada judulnya dan lagu kedua, Everything I Need.
“Ia akan disusun semula oleh Tam Spider dan kerja-kerja rakaman juga akan dilakukan sama waktunya dengan penggambaran Dalam Hati Ada Taman,” katanya.
Carian Anda :
- randy pangalila (842)
- pelakon dalam hati ada taman (457)
- dalam hati ada taman full movie (213)
- dalam hati ada taman sinopsis (120)
- randy pangalila 2012 (116)
- sinopsis dalam hati ada taman (114)
- dalam hati ada taman pelakon (78)
- dalam hati ada taman (65)
- dalam hati ada taman episod 1 (39)
- cube film sdn bhd (32)
Category: Drama Melayu, Hiburan
![Leypark [Dot] Com](http://i1115.photobucket.com/albums/k547/HazIssac/leyparkkkkkkkkkkkk2-2.png)












Comments (1)
Trackback URL | Comments RSS Feed