[Berita] Proton Pintas Kedudukan Perodua
PERSATUAN Automotif Malaysia (MAA) menyemak secara menurun unjuran jualan industrinya tahun ini kepada 608,000 unit daripada anggaran awal 618,000 berikutan gangguan dalam bekalan ekoran bencana gempa bumi dan tsunami di Jepun serta pindaan kepada Akta Jual Beli 1967.
Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, kemerosotan dalam jumlah keluaran industri (TIV) dalam separuh pertama 2011, sebahagian besarnya kategori kenderaan penumpang.
Beliau berkata, kejatuhan dalam TIV pada suku kedua menyaksikan kemerosotan sebanyak 12.4 peratus berbanding suku pertama.
“Penurunan dalam TIV disebabkan kelambatan dalam penghantaran kenderaan baru berikutan gangguan dalam pengeluaran yang disebabkan bencana gempa bumi dan tsunami di Jepun.
“Pindaan kepada Akta Jual Beli juga menyebabkan kelembapan dalam pendaftaran kenderaan baru,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, semalam.
Tahun lalu, jumlah jualan industri ialah 605,156 unit dengan TIV kenderaan motor baru untuk enam bulan pertama 2011 ialah 297,203 unit berbanding 301,115 unit yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagi separuh pertama tahun ini, kategori kenderaan komersial mencatatkan pertambahan 2,337 unit sementara untuk penumpang pula jatuh sebanyak 6,249 unit.
Aishah berkata, mengenai pindaan kepada Akta itu, beliau berkata MAA yakin kerajaan akan menyemaknya semula.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mengadakan mesyuarat pada 22 Julai ini dan berdasarkan kepada isu-isu yang ada sekarang, saya rasa Kementerian terbuka kepada pemindaan beberapa klausa dalam Akta Jual Beli ini,” katanya.
Sementara dalam perkembangan berkaitan, Proton Holdings Bhd (Proton) mengatasi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) untuk menduduki kedudukan teratas dalam jualan kereta pada separuh pertama tahun ini dengan 74,519 unit dijual berbanding Perodua sebanyak 62,584 unit.
MAA dalam kajian pasarannya merekodkan, jualan Proton meningkat daripada 65,918 unit bagi tempoh sama tahun lalu, tetapi Perodua mencatatkan penurunan daripada 71,375 sebelumnya.
Bagi jualan segmen kereta bukan nasional, Toyota berada di tempat pertama dengan 21,653 unit dijual pada separuh pertama walaupun penurunan daripada 25,697 unit dijual sebelumnya, diikuti Honda dengan jualan sebanyak 15,807 unit berbanding 18,796 unit. – Bernama
Carian Anda :
- berita proton (1)
![Leypark [Dot] Com](http://i1115.photobucket.com/albums/k547/HazIssac/leyparkkkkkkkkkkkk2-2.png)
![[Berita] Proton Pintas Kedudukan Perodua proton logo [Berita] Proton Pintas Kedudukan Perodua](http://3.bp.blogspot.com/-Kn_63rePY-g/TiULrINo6hI/AAAAAAAABIg/I0kp_OKXlX8/s1600/proton_logo.jpg)
![[Berita] Proton Pintas Kedudukan Perodua iklan1 [Berita] Proton Pintas Kedudukan Perodua](http://rm20segera.com/banners/iklan1.gif)









